Saturday, 28 March 2015

Maaf selama ini tidak peduli ~ Norhayati Berahim..


Baru mula baca novel ini, yg dipinjam dari rakan aku..sunggu menarik sinopsisnya..Dan aku tahu perkara ini masih lagi terjadi di realiti ini..



Zaida memberhentikan keretanya di Jalan Chow Kit. Tidak jauh dari perhentian teksi. Dia kemudian mengajak Madena keluar.
“Aku sedang menunggu seseorang…”
“Siapa?”
“Lelaki yang menelefon tadi tu.”
Beberapa orang gelandangan sedang menghamparkan kotak untuk tidur memandang ke arah mereka. Ada yang sedang lalok, tersenyum-senyum memandang Madena.
Madena mengangkat tangan kepada lelaki itu. Lelaki itu tersengih-sengih membalas.
“Kau ni kak, menakutkan aku saja tau. Kau percaya ke dengan lelaki yang menelefon kau tu?”
“Aku percaya.”
“Kenapa kau boleh percaya?”
“Hati aku mengatakan aku percaya.”
“Kalau dia buat sesuatu tak senonoh dengan kau, macam mana?”
“Maksud kau, bagaimana?”
“Kau tahukan kak, orang sekarang ramai yang tak jujur!”
Madena merengus. Dia melihat seorang lelaki berbadan tegap menghampiri mereka. Dada Madena sudah bergoncang. Debarnya kian terasa.
“Cik Zaida ke?”
“Ya, Cik Zaida.”
“Saya Johnny.”
Lelaki itu membongkokkan badannya.
Mereka berbalas senyuman.
“Ini adik saya, Madena.”
“Oh ya… mari ikut saya.”
Madena rasa tidak sedap hati. Namun Zaida sudah menarik tangannya supaya mengikut lelaki itu.
“Kau tak takut ke, kak?”
Madena seakan berbisik, namun diatur juga langkahnya. Lelaki berbadan tegap itu diperhati dari belakang.
Poliskah dia? Atau lelaki ini seorang penjahat? Bagaimana Zaida boleh berhubung dengan lelaki ini?
“ALLAH ada perhatikan kita. Nak takut apa?”
Aduh, zaman sekarang terutama bila sudah terlampau ramai pendatang asing, semua perkara harus diambil kira. Orang berniat baik pun harus diragui kerana kita sukar membaca hati orang.
“Maaf, saya menyusahkan cik berdua.”
Suara lelaki itu perlahan sahaja.
“Tak mengapa.”
Zaida menjawab lembut.
“Tapi saya selalu melihat mereka di sini. Pakaian kotor, percakapan tidak seperti usia mereka.”
Lelaki itu bersuara perlahan. Sedap suaranya! Madena berkata dalam hati. Tidak tahu kenapa perwatakan lelaki yang tegas itu cepat dapat menangkap tingkah laku lelaki tersebut.
Mereka melalui kaki lima di Jalan Chow Kit itu. Ada beberapa buah kedai masih lagi dibuka. Salah satunya kedai runcit yang dikuasai bangsa Arab sedang menurunkan pelbagai makanan di dalam kotak dari lorinya.
“Saya risau dengan keadaan masyarakat sekarang ini yang tak pernah ambil peduli.”
Lelaki itu sudah memperlahankan langkahnya. Menoleh pada Madena. Wajah lelaki itu seperti ada keresahan yang sukar diungkapkan.
“Maksud Johnny, bagaimana?”
“Masyarakat kita sudah tidak ambil peduli lagi. Pembangunan insan sudah lebur bersama pembangunan fizikal. Kita sudah tidak ambil tahu dan tidak pernah peduli walau ada jiran kita yang mati kelaparan.”
Kata-kata itu bagaikan sengatan di telinga Madena. Membangkitkan rasa bersalah dan menghilangkan rasa prasangkanya terhadap lelaki ini dengan begitu mendadak.
“Hati saya rusuh sungguh melihat kehidupan mereka. Di mana-mana ada saja gelandangan. Di mana-mana ada saja anak yang terbiar. Bagaimana pula dengan hidup kita ni nanti? Terlalu mementingkan diri. Kenapa semua orang tidak peduli? Esok kalau Tuhan persoalkan, bagaimana kita mahu mengelak diri daripada menjawabnya?”
Lelaki itu terus bersuara. Mereka sudah berjalan masuk ke satu lorong yang Madena tidak perasan apa namanya. Lama sungguh dia tidak ke situ! Dan lelaki itu terus melangkah.
“Itu dia, Zaida.”
Lelaki itu berhenti buat seketika dan kemudian melangkah perlahan di bawah pokok. Ada dua tubuh yang sedang berbaring dialas dengan kertas.
Mendadak perasaan hiba yang sukar diluahkan berkumpul di dada Madena.
“Saya tak tahu sama ada mereka tu adik-beradik atau bukan. Tapi kesian mereka tu. Beberapa hari yang lepas, saya mendengar mereka berkata; emak pergi hisap dadah, dia tinggalkan kita. Kenapa emak tak bagi kita dadah? Dia makan sorang…”
Mata Madena terbeliak. Dia rasa tercekik mendengar kata Johnny itu.
“Johnny tahu bapak dia orang di mana?”
“Saya tak pasti. Zaida, lakukanlah sesuatu. Zaida kenal ramai orang, kan? Berilah kepada sesiapa yang boleh menjaga mereka. Saya mahu menjaga, tapi saya tak mampu.”

No comments: